FAQ Log in
Search Profile
Memberlist Usergroups
Log in to check your private messages
Register
Lama tak dengar khabar dari Sufiah sekeluarga.
Post new topic   Reply to topic
Dunia Pendidikan Forum Index » Jom, selamatkan Sufiah Yusof. » Lama tak dengar khabar dari Sufiah sekeluarga.
View previous topic :: View next topic  
Author Message
admin
Site Admin


Joined: 02 Mar 2008
Posts: 12

 Post Posted: Wed Apr 02, 2008 3:13 pm    Post subject: Lama tak dengar khabar dari Sufiah sekeluarga.
Reply with quote

Rasa terkejut juga saya apabila lama tak mendengar khabar berita tentang Sufiah Yusuf, pelajar Malaysia yang genius dalam bidang Matematik hingga dapat melanjutkan pelajaran ke Oxford dalam usia yang terlalu muda. Rasa bangga sebagai rakyat Malaysia terpahat juga, namun masa yang berlalu banyak mengubah. Sufiah kini bukan lagi seorang pelajar yang pintar. Banyak juga artikel yang saya baca melalui laman web dan juga blog dari luar yang menceritakan tentang Sufiah, banyak yang negatif dari yang positif. Tidak kurang juga yang mencemuh dan menuduh dengan pelbagai alasan baik dari media utama negara mahu pun dari luar negara.

Apa pun, kita tidak tahu apakah sebenarnya yang telah mengubah beliau menjadi sedemikian, kita tidak merasai keperitan atau sesuatu yang sukar untuk ditempuhi sehingga membuatkan kita cepat untuk menuduh dengan melulu. Kita sepatutnya lebih kearah menolong, bukan menuding, bukan juga mencari siapa yang silap. Sepatutnya kita lebih terarah untuk cuba membantu dan meringankan beban yang dipikul.
 Back to top »
View user's profile Send private message Send e-mail
bgneele



Joined: 03 Mar 2008
Posts: 5
Location: Kuala Lumpur

 Post Posted: Sun Apr 06, 2008 9:42 pm    Post subject: Lagi berita tentang Sufiah Yusof
Reply with quote

Bukan saja selamatkan Sufiah

Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN

SAAT bahagia Sufiah bersama bekas suaminya Jonathan Marshall tahun 2004.

SEBANYAK 180 orang dilaporkan hilang dan sebilangan besar adalah remaja perempuan. Statistik ini dipetik daripada laman sesawang Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut menyiarkan gambar individu yang dilaporkan hilang oleh keluarga masing-masing. Statistik ini sekalipun nisbahnya kecil berbanding jumlah keseluruhan remaja di negara ini tetapi tetap besar dalam konteks ancaman sosial terhadap remaja.

Maknanya 180 orang yang hilang ini satu perkara besar. Ini ditambah pula dengan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tahun 1999 yang mendedahkan 187 remaja perempuan yang ditahan terlibat dalam kegiatan pelacuran. Bagaimanapun sepuluh tahun lalu ketika statistik ini dikeluarkan, tidak ada pihak yang panik dengan keruntuhan moral remaja seperti berita seorang remaja menjadi pelacur di Manchester. Kenapa?

Kalau 187 yang ditahan itu didapati terlibat dalam pelacuran dan sesetengah daripada kita tidak panik waima sedikit pun, jumlah yang sebanyak mana agaknya akan mengejutkan kita? Mungkin secara senyap pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) bertungkus lumus mengurangkan jumlah tersebut.

Minggu lalu Sufiah Yusof yang pernah muncul sebagai kanak-kanak pintar dan memasuki Universiti Oxford pada usia 12 tahun, kini dilaporkan menjadi pelacur di Salford, Manchester. Ibu Sufiah, Halimaton Yusof berasal dari Muar, Johor dan berkahwin dengan warga Pakistan, mereka tinggal di London. Sufiah adalah warga Britain tetapi dia menjadi dekat dengan kita semua kerana ibunya berasal dari negara ini.

Tragedi

Tragedi hidup Sufiah yang terpaksa melacur di flat murah untuk menyara hidup selepas melarikan diri dari keluarga menyentak perhatian sebahagian besar daripada kita. Beberapa pihak mengatur bantuan untuk membawa Sufiah pulang ke pangkal jalan antaranya menganjurkan kempen Selamatkan Sufiah. Sementara itu lebih 4,000 ahli Kelab UMNO di United Kingdom difahamkan menggerakkan usaha menjejaki Sufiah.

Sebelum ini Sufiah telah mencetuskan kontroversi apabila melarikan diri dari rumah kerana tidak tahan dengan tekanan yang dilakukan oleh bapanya untuk memastikan prestasi Sufiah sebagai pelajar pintar tidak menurun. Disebabkan ketiadaan ruang sosial yang cukup dan seolah-olah “diprogram” untuk menjadi pintar, Sufiah mengambil jalan pintas. Dia melarikan diri dan meninggalkan pengajiannya beberapa ketika serta berkahwin dengan lelaki Inggeris. Bagaimanapun perkahwinan itu hancur tidak lama kemudian.

Nah, itulah secara ringkas relung hidup seorang yang pernah menggegarkan dunia sebagai kanak-kanak pintar, kini terdampar di lorong hitam dan meneruskan hidup sebagai pelacur. Kisah Sufiah terbongkar apabila dia mengiklankan dirinya di Internet menggunakan nama samaran Shilpa Lee untuk mencari pelanggan.

Tanpa memperkecilkan apa lagi memperemehkan usaha murni membawa Sufiah ke pangkal jalan, selepas ini usaha yang sama malah lebih hebat mesti digerakkan untuk membawa sekian banyak remaja termasuk remaja Melayu yang menjadi Pegawai Perhubungan Pelanggan (GRO) dan pelacur ke pangkal jalan. Banyak remaja Melayu terperangkap dalam profesion yang mendedahkan mereka ke gerbang keruntuhan moral dan inilah “Sufiah” dalam konteks kita di negara ini.

Kita tidak boleh menutup mata seolah-olah tidak ada remaja negara ini yang menjalani hidup seperti Sufiah. Tetapi tindak tanduk kita seolah-olah hanya “Sufiah” di Manchester saja yang perlu diselamatkan. Maka kempen Selamatkan Sufiah yang telah dianjurkan perlu diteruskan untuk menyelamatkan remaja tempatan dan membawa mereka keluar dari lembah kehancuran.

Sebenarnya tragedi hidup yang melanda Sufiah boleh dijadikan iktibar supaya kebahagiaan bukan diukur tinggi rendah status hidup. Kebahagiaan yang dicari Sufiah adalah kerukunan dalam keluarga dan hidup tanpa tekanan daripada mana-mana pihak. Satu tragedi lain menimpa keluarga, ayah Sufiah kini menjalani hukuman penjara apabila didapati bersalah mencabul salah seorang pelajar di bawah umur tidak lama dulu.

Perjalanan hidup pelajar pintar ini yang melakukan pekerjaan yang tidak sepatutnya memang memagut simpati. Tetapi di luar pengetahuan kita, banyak remaja yang menjalani hidup seperti Sufiah, menjadi GRO atau pelacur di bandar-bandar besar. Mereka juga perlu ditolong dan keriuhan membawa mereka pulang ke pangkal jalan biarlah seperti kita riuh membantu Sufiah di seberang laut itu.

Tidak pasti apakah yang kita lakukan untuk membawa GRO dan pelacur termasuk Melayu ke pangkal jalan? Tetapi yang pasti kehadiran GRO dan pelacur kalangan remaja tempatan tidak menggamatkan seperti terjerumusnya Sufiah di lembah pelacuran. Maka secara positifnya keprihatinan kepada Sufiah akan menjadi anjakan kepada pihak yang diberi tanggungjawab untuk menangani masalah keruntuhan moral kalan remaja di negara ini.

Tragedi Sufiah diharapkan membangkitkan kesedaran baru bahawa di sekeliling kita banyak yang senasib dengan Sufiah. Mereka juga perlu diselamatkan selepas kita menunjukkan prihatin yang luar biasa kepada remaja yang jauh di seberang laut itu. Masalah keruntuhan moral tidak dapat diselesaikan dengan cemuhan waima oleh pihak berkuasa dalam hal-ehwal ini. Kerana itu apabila sebahagian besar daripada kita tidak mencemuh Sufiah sebaliknya menghulurkan bantuan dan memberi sokongan moral, inilah yang perlu dilaksanakan dalam menangani masalah yang sama di negara ini.

Mungkin selepas ini Sufiah akan dianggap sebagai “lilin yang membakar diri” apabila kita bekerja lebih keras untuk menyelamatkan sekian banyak remaja dari lembah pelacuran atau remaja Melayu yang menjadi GRO. Kerana Sufiah, diharapkan banyak remaja di sini dapat diselamatkan selepas Sufiah membangkitkan kesedaran kalangan pihak yang diberi tanggungjawab.

Pada masa yang sama tragedi hidup Sufiah juga memberitahu, bahawa yang dilakukan kepada anak-anak bukanlah untuk muncul sebagai “terlalu pintar”. Sebaliknya cukuplah mereka menjadi orang yang bijak, ada prinsip dan kreatif menjalani hidup. Sesetengah ibu bapa terlupa hakikat ini dan matlamat mereka mahu menjadikan anak sebagai paling pintar. Maka mereka memburu prestasi akademik hingga terlupa kepada realiti dan keperluan hidup.

Bagaimanapun hakikat yang terpaksa kita terima adalah hampir tidak ada kalangan individu yang berjaya dalam profesion malah menjadi bilionair terdiri daripada kanak-kanak pintar seperti Sufiah. Mereka yang berjaya ada sesetengahnya terdiri daripada kanak-kanak yang sederhana seperti pemenang Anugerah Nobel, Earnest Hemingway yang terkenal dengan novel The Old Man and the Sea. Pada zaman kanak-kanak, Hemingway selalu mendapat C, salah satu kerana tulisannya yang sangat buruk. Tetapi pada usia dewasa, Hemingway menjadi sasterawan agung dunia, semua ini kerana dia bijak memanfaatkan bakat dan pemikiran.

Kerana itu cukuplah Sufiah menjadi “mangsa” terakhir ibu bapa yang menghambat kecemerlangan akademik hingga terlupa kepada keperluan kanak-kanak itu sendiri untuk membesar secara semula jadi dan melalui keriangan zaman kanak-kanak. Sufiah dipaksa hidup tanpa melalui zaman kanak-

kanak yang semula jadi.
 Back to top »
View user's profile Send private message
Display posts from previous:   
Dunia Pendidikan Forum Index » Jom, selamatkan Sufiah Yusof. » Lama tak dengar khabar dari Sufiah sekeluarga.
Post new topic   Reply to topic All times are GMT + 8 Hours
Page 1 of 1

 
Jump to:  
You cannot post new topics in this forum
You cannot reply to topics in this forum
You cannot edit your posts in this forum
You cannot delete your posts in this forum
You cannot vote in polls in this forum




Solaris phpBB theme/template by Jakob Persson
Copyright © Jakob Persson 2003



Powered by phpBB © 2001, 2002 phpBB Group