|
Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima tiga pelajar paling muda dari Indonesia untuk melanjutkan pengajian peringkat doktor falsafah (Ph.D) di Kampus Sintok yang bermula 28 Jun lalu. Geraldy Dadriyansyah, Yenny Puspita dan Alnopri Hadi adalah antara 6,581 pelajar baru yang mendaftar di Kampus UUM bagi memulakan pengajian bagi sesi 2009/2010. Tiga pelajar dari Sumatera Selatan yang berprestasi cemerlang ini dibiayai sepenuhnya oleh Sriwijaya Foundation. Ia adalah yayasan yang bertanggungjawab membawa pelajar Indonesia ke Malaysia. Menariknya, seorang daripada tiga pelajar itu Geraldy Dadriyansyah, 22, ditawarkan terus mengikuti pengajian di peringkat Ph.D dalam bidang Pengurusan Teknologi. Ia berikutan mendapat keputusan cemerlang dengan mendapat purata gred nilai keseluruhan (PGNK) 3.80 di peringkat ijazah pertama. Beliau akan mengikuti pengajian secara sepenuh masa dengan membuat penyelidikan Relationship Between Virtual Team Effectiveness And New Product Developement In Concurrent Engineering Contact. Geraldy yang menjadi pelajar Indonesia pertama terus melangkah ke tahap PhD melahirkan rasa syukur kerana ditawarkan mengikuti pengajian peringkat tersebut dan menganggap sebagai pengiktirafan daripada UUM.
"Sesungguhnya teknologi yang akan diterokai saya ini belum banyak diaplikasikan di negara-negara Asia Tenggara dan banyak negara asia ini masih menghasilkan produk dengan menggunakan pendekatan tradisional. "Saya berharap dengan penyelidikan dan cabang ilmu yang diterokai ini dapat menghasilkan pengeluaran serta meningkatkan mutu dan inovasi sesuatu produk," kata Geraldy lagi. Sementara itu, Yenny Puspita, 24, yang tamat pengajian peringkat sarjana dalam bidang Perbankan dengan PGNK 3.69 pula akan meneruskan pengajian peringkat Ph.D dengan tajuk penyelidikan Investment Decision In Real Property (Cases In Malaysia). Anak penarik beca di Palembang ini juga telah mendapat keputusan yang cemerlang dalam pengajiannya di peringkat ijazah pertama dengan memperoleh PGNK 3.54. Beliau juga menyimpan cita-cita untuk terus berkhidmat di UUM sebagai tenaga akademik suatu hari nanti. Alnopri Hadi, 23, juga tidak ketinggalan mengikuti pengajian peringkat Ph.D di UUM apabila berjaya menamatkan sarjana dengan PGNK 3.89. Beliau yang kematian bapa sejak berumur 11 tahun bersyukur kerana terpilih menerima tajaan sepenuhnya daripada Sriwijaya Foundation bagi membuat penyelidikan bertajuk Capital Budgeting. Sementara itu, Presiden Sriwijaya Foundation, Surya Burhanuddin berkata, sehingga hari ini yayasannya telah menaja 173 pelajar dari Sumatera Selatan melanjutkan pengajian di Malaysia. Daripada jumlah itu, 121 orang peringkat sarjana muda, sarjana (44) dan Ph.D (lapan orang). Bagi pendaftaran semester pertama sesi 2009/2010 ini UUM menerima 6,581 pelajar baru. Ia meliputi kemasukan pelajar Sarjana Muda seramai 5,301, program Sarjana (861), Ph.D (137) dan Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) adalah seramai 22 pelajar. Seramai 260 pelajar lagi bagi program Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah.
|